KUALA LUMPUR, 3 Jul 26 – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datoβ Seri Haji Malek Razak bin Sulaiman hari ini mencipta sejarah baharu apabila diabadikan serentak sebagai Ahli Ke-16 Hall of Fame Malaysian Armed Forces Defence College (MAFDC) dan Ahli Ke-2 Hall of Fame National Resilience College (NRC).
Pengiktirafan berkembar oleh dua institusi pendidikan pertahanan tertinggi negara itu merupakan pengesahan mutlak terhadap sumbangan besar beliau dalam memperkukuh kepimpinan strategik serta doktrin pertahanan nasional.
Penganugerahan ini membawa wibawa tersendiri. MAFDC bertindak selaku pusat kecemerlangan pendidikan pertahanan dan kajian strategik Angkatan Tentera Malaysia (ATM), manakala NRC merupakan institusi tertinggi yang melatih barisan kepimpinan kanan bagi merangka dasar serta strategi keselamatan di peringkat nasional. Pencapaian ini meletakkan legasi pemikiran Jeneral Tan Sri Datoβ Seri Haji Malek Razak bin Sulaiman sebagai peneraju utama doktrinasi pertahanan angkatan masa hadapan.
Majlis berprestij tersebut menyaksikan Panglima Angkatan Tentera menerima Proklamasi Hall of Fame daripada kedua-dua institusi berkenaan. Komandan MAFDC, Laksamana Pertama Mohd Shariman bin Ishak mengisytiharkan beliau sebagai Ahli Ke-16 Hall of Fame MAFDC, diikuti pengisytiharan sebagai Ahli Ke-2 Hall of Fame NRC oleh Komandan NRC, Mejar Jeneral Abdul Karim bin Ahmad.
Sebagai simbolik penyempurnaan majlis, Panglima Angkatan Tentera turut menyampaikan ucapan penghargaan khas sebelum menandatangani buku Hall of Fame serta merasmikan frame pengiktirafan di galeri Hall of Fame kedua-dua institusi.
Kewujudan Hall of Fame MAFDC dan NRC berfungsi sebagai mekanisme tertinggi bagi mengiktiraf alumni yang mencapai kemuncak kerjaya perkhidmatan serta memberikan sumbangan berimpak tinggi kepada keselamatan negara. Pengabadian profil ini bukan sahaja memelihara sejarah kepimpinan ketenteraan, malah menjadi sumber inspirasi kepada barisan pegawai kanan yang bakal menerajui institusi ATM serta ekosistem pertahanan tanah air.
Berita dan Gambar: BRKSP.
Galeri Majlis








